Muqaddimah
“..Ya Allah Engkau Tuhanku.. Tiada tuhan melainkan
Engkau.. Engkau cinta agungku.. Nabi Muhammad pesuruhMu..”
Bait-bait
nasyid kumpulan Quturunnada di atas sering mengingatkan kita kepada hakikat
cinta yang sebenar. Bagi saya sendiri, makna serta irama yang dibawa oleh
Qutrunnada ini benar-benar menyentuh jiwa apatah lagi di tengah-tengah kemarakan
irama nasyid ala-KRU yang mewarnai dunia nasyid pada masa
sekarang.
Berbicara mengenai cinta, tentunya tidak akan lepas dari
perbincangan kita tentang cinta monyet yang menghiasai dunia muda-mudi sekarang
ini. Malah, tidak keterlaluan untuk dinyatakan, itulah pespektif masyarakat
terhadap cinta. Padahal cinta seperti inilah yang sering mendorong pelakunya ke
arah melakukan maksiat kepada Allah SWT. Sekotor itukah cinta?
Apakah
cinta itu sebenarnya? Cinta sebenarnya merupakan bagian yang tidak bisa
dilepaskan dari fitrah manusia. Tanpa nilai cinta yang berdefinisi sebagai
cetusan rasa dari orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan
hakikat dan kewujudannya akan membantutkan tumbesar
manusia[sic!].
Kesenian cinta yang didasari runtutan fitrah tanpa
dikotori oleh hawa syahwat merupakan lambang kedamaian, keamanan dan ketenangan.
Namun cinta seringkali diperalatkan untuk melangsai keghairahan nafsu dan
kebejatan iblis laknatullah. Demi kemakmuran manusia sejagat, kita mesti
menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah yang suci dan iman yang komited
kepada Allah. Permasalahan cinta antara yang dihadapi secara serius oleh umat
Islam hari ini. Pergesekan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan umat
Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu telah memapah
umat Islam ke medan pergesekan yang memusnahkan etika spritual dan membunuh
solidariti serta menodai sosial.
Individu mukmin sewajarnya peka terhadap
kehadiran cinta di dalam jiwa. Cinta yang berdasarkan nafsu dan syahwat
semata-mata hanyalah cinta palsu yang penuh jijik dan dihina. Menyadari hakikat
ini, saya mencuba untuk mengberanikan diri bercerita soal cinta secara ringkas
menurut pandangan Islam. Apatah lagi dalam suasana masyarakat remaja khususnya
tertipu dengan propaganda 14 Februari yang kononnya ialah hari Kekasih
(Indonesia: hari kasih sayang. ed). Maka sibuklah dunia berbicara soal cinta
yang lebih menjurus kepada cinta karut-marut yang bertemakan mainan perasaan
yang sama sekali terseleweng dari kehendak Islam.
Semoga Allah memberikan
ganjaran terhadap usaha yang kecil ini dalam membersihkan jiwa pemuda-pemuda
dari sebarang permainan perasaan yang hanya akan menyesatkan fikiran. Apakah
Kedudukan Cinta Di Dalam Islam? Adakah Islam memusuhi cinta? Adakah sebegini
kejam sebuah agama yang disifatkan menepati fitrah? Sebenarnya tidak. Malah
Islam memandang tinggi persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan
fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Namun, cinta di dalam Islam perlulah
melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri :
1. Cinta
kepada Allah
Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehiudupan
manusia ialah cinta kepada Allah. Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada
Khaliq dapat dilihat melalui cinta murni mereka kepada Pencipta. Tanpa cinta
kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi balasan yang bererti sedangkan apa
yang menjadi pondasi dalam Islam ialah mengenali dan menyintai
Allah.
Sinaran cinta itu jua yang akan mendorong hamba bertindak ikhlas
di mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang
mantap. Firman Allah SWT :
“..(Walaupun demikian), ada juga di antara
manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah),
mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai
Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah...”
(Surah Al-Baqarah ayat : 165)
Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi
kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan
ihsan-Nya.Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa
pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya. Cinta Allah umpama satu anugerah yang
tertinggi dan tidak mungkin siapa pun dapat memilikinya kecuali didahulukan
dengan pengorbanan yang mahal. Cinta Allah adalah syarat yang utama untuk
meletakkan diri di dalam barisan pejuang-pejuang kalimah Allah SWT. Firman Allah
SWT (yang bermaksud) :
“..Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di
antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan
mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia;
mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku
tegas gagah terhadap orang-orang kafir...” (Surah Al-Maidah, ayat
54)
2. Cinta Kepada Rasulullah SAW dan para anbiya’
Apabila
manusia berada di dalam kegelapan yang begitu kelam, maka diutuskan pembawa obor
yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran.
Sayang, pembawa obor tersebut terpaksa begelumang dengan lumpur yang begitu
tebal dan menahan cacian yang tidak sedikit untuk melaksanakan tugas yang begitu
mulia.
Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah SAW. Maka adalah menjadi
satu kewajipan kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai muslim memberikan
cintanya kepada Rasulullah dan para ambiya’. Kerana kecintaan inilah, para
sahabat sanggup bergadai nyawa menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai
demi mempertahankan Rasulullah SAW. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh
Bukhari dan Muslim menyebut :
Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya:
Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka
dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang
mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang
hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah
menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan
ke dalam Neraka. (Bukhari : no. 15, Muslim : no. 60, Tirmizi : no. 2548 Nasaie :
no. 4901)
Namun, dalam suasana kita sekarang yang begitu jauh dengan
Rasulullah SAW dari segi masa, adakah tidak berpeluang lagi untuk kita
memberikan cinta kepada Rasulullah SAW? Sekalipun Rasulullah SAW telah
meninggalkan kita jauh di belakang, sesungguhnya cinta terhadap baginda boleh
dbuktikan melalui kepatuhan serta kecintaan terhadap sunnahnya. Oleh yang
demikian, orang yang memandang hina malah mengejek-ngejek sunnah Rasulullah SAW
tentunya tidak boleh dianggap sebagai orang yang menyintai Rasulullah
SAW.
3. Cinta Sesama Mukmin
Interaksi kasih sayang sesama
mukmin adalah merupakan pembuluh utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan
yang begitu utuh. Cinta sesama mukmin inilah yang mengajar manusia supaya
menyintai ibu bapanya. Malah mengherdik ibu bapa yang bererti merungkaikan
talian cinta kepada keduanya adalah merupakan dosa besar sebagaimana yang
disebut di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a
katanya:
“Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda:
Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besar dosa besar: Ianya tiga perkara,
iaitu mensyirikkan Allah, mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau
kata-kata palsu..” (Hadis riwayat Bukhari, no. 5519, Muslim : no.
126)
Alangkah indahnya sebuah agama yang mengajar penganutnya agar
menghormati dan menyintai kedua ibubapanya yang telah melalui susah payah untuk
membesarkan anak-anak mereka. Di manakah lagi keindahan yang lebih sempurna
selain daripada yang terdapat di dalam Islam yang mengajar umatnya dengan
pesanan :
“..Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana
belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata):
"Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah
mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah
Israk, ayat 24)
Selain daripada cinta kepada kedua ibubapa ini, Islam
juga meletakkan cinta sesama mukmin yang beriman sebagai syarat kepada sebuah
perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah SAW. Hayatilah betapa
dalamnya maksud firman Allah SWT :
“..Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul
Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap
orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang
serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)...(Surah Al-Fath, ayat
29) Malah, Al-Quran sendiri menukilkan betapa pujian melangit yang diberikan
oleh Allah SWT kepada golongan Ansar yang ternyata menyintai golongan Muhajirin
dengan cinta suci yang berasaskan wahyu Ilahi. Malah dalam keadaan mereka
berhajat sekalipun, keutamaan tetap diberikan kepada saudara-saudara mereka dari
golongn Muhajirin. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“..Dan orang-orang
(Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi
orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati
mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang
berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih
daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat
berhajat. ..”(Surah Al-Hasyr, ayat 9)
Bukankah ini yang telah diajar oleh
Islam? Maka di tengah-tengah kecaman keganasan yang dilemparkan kepada Islam
pada hari ini, kenapa tidak masyarakat antarabangsa malah umat Islam sendiri
melihat bahwa betapa agungnya unsur kasih sayang dan cinta yang terdapat di
dalam Islam? Namun, betapa agungnya cinta di dalam Islam, begitu jualah agungnya
penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya agar sama sekali tidak mencemarkan
kesucian cinta dengan kekotoran nafsu. Itulah cinta di dalam Islam. Ia tidak
dapat tidak haruslah diasaskan di atas dasar keimanan kepada Allah. Alangkah
ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Akan hanyutlah jiwa-jiwa yang
menyedekahkan dirinya untuk diperlakukan oleh ‘syaitan cinta’
sewenangnya-wenangnya
Cinta Dunia Remaja : Tragedi Yang Menyayat
Hati
Tidak ada orang yang boleh mendakwa dirinya lari daripada mainan
perasaan. Asal saja ia bernama manusia, maka sekaligus dirinya akan dicuba
dengan mainan nafsu yang bagaikan lautan ganas yang begitu kuat bergelombang.
Salah satu darinya ialah mainan cinta.
Tidak sedikit orang yang rebah
kerana cubaan ini. Dalam berbicara persoalan peringkat pembinaan ‘cinta lutong’
(cinta monyet, terj, ed), mungkin menarik untuk menilik pendapat dari Syauqi.
Benar kata Syauqi, cinta lutong ini bermula dengan mainan mata yang tidak
mempunyai sempadannya; ia kemudiannya diikuti dengan sahutan suara dan saling
berhubung. Sampai peringkat tersebut, amat sukar sekali bagi pasangan cinta
untuk tidak bertemu dan berdating (berkencan, terj, ed) sekaligus mendedahkan
diri kepada aksi yang lebih hebat. Oleh kerana itulah, Islam dalam menjaga
kesucian cinta dari dicemari oleh unsur-unsur nafsu meletakkan batasan pandangan
seorang muslim dan muslimah. Firman Allah SWT yang bermaksud
:
“..Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman
supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan
memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka;
sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka
kerjakan...”(Surah An-Nuur, ayat 30)
Betapa bahayanya cinta lutong ini
boleh dilihat apabila pasangan yang dhanyutkan olehnya tidak akan berupaya untuk
berfikir secara waras lagi. Setiap detik dan masa yang berlalu tidak akan sunyi
dari memikirkan persoalan cinta mereka. Setiap saat, jiwa sudah tidak mampu lagi
untuk tenteram sekiranya tidak diperdengarkan dengan suara halus dan lunak yang
berbicara dengan kata-kata yang hanya layak diperdengarkan di dalam kelambu.
Sudah berkubur cita-cita perjuangan dan sudah lebur harapan masyarakat
yang dipikulkan di atas bahu, yang ada hanyalah kehendak memuaskan hati pasangan
masing-masing. Lantas, di saat demikian, layakkah orang yang hanyut ini
diharapkan memikul tanggungjawab melaksanakan tugas penting membimbing
masyarakat? Apakah penyelesaian terhadap permasalahan ini? Jalan yang paling
baik ialah perkahwinan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud
:
“..Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai
keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin.
Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga
kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana
puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu..”(Bukhari : no. 1772, Muslim : no.
2485)
Selain daripada perkahwinan yang tentunya merupakan perkara yang
hampir mustahil untuk dilaksanakan dalam dunia seorang penuntut ilmu, maka
Rasulullah SAW mencadangkan puasa sebagai jalan terbaik melepaskan diri dari
kekangan nafsu yang meronta-ronta. Selain daripada itu, Islam sama-sekali tidak
membuka pintu yang lain. Selain daripada perkahwinan, tidak dapat tidak,
hanyalah kawalan terhadap jiwa mampu menyelamatkan diri sendiri dari turut
terjun dalam arus ganas cinta lutong.
Sesungguhnya cinta sebelum
perkahwinan adalah cinta palsu yang walaupun dihiasi dengan rayuan-rayuan halus
namun ia adalah panggilan-panggilan ke lembah kebinasaan! Dan sekalipun
kekosongan jiwa daripada cinta lutong secara zahirnya adalah penderitaan dan
kesunyian yang begitu hebat, namun itulah hakikat cinta sejati kepada Allah.
Andainya hati dihiasi dengan rayuan-rayuan syaitan yang seringkali mengajak ke
arah melayan perasaan, maka hilanglah di sana cita-cita agung untuk menabur
bakti kepada Islam sebagai medan jihad dan perjuangan.
Percayalah, masa
muda yang dianugerahkan oleh Allah hanyalah sekali berlalu dalam hidup. Ia tidak
akan berulang lagi untuk kali kedua atau seterusnya. Meniti usia remaja dengan
berhati-hati dan mengenepikan mainan perasaan adalah merupakan perkara yang amat
sukar sekali. Apatah lagi, semakin dihambat usikan perasaan, semakin ia datang
mencengkam dan membara. Namun, itulah mujahadah melawan perasaan. Sekadar
perasaan dan diri sendiri menjadi musuh, alangkah malunya untuk kita tewas
terlalu awal. Usia emas yang diberikan ini alangkah baiknya andainya digunakan
sebaik mungkin menggali sebanyak mana anugerah di bumi ilmu.
Namun, kita
manusia boleh tertewas bila-bila masa sahaja. Tidak kira siapapun kita.
Sekalipun kita arif malah benar-benar mengetahui bahawa yang hadir hanyalah
sekadar tipuan, namun kita bisa rebah dalam ketewasan yang kita sendiri
sebenarnya merelakannya. Oleh yang demikian, apakah yang akan menyelamatkan
selain keimanan, ketakwaan dan kecekalan?
Oleh : Ahmad Fadhli bin
Shaari http://www.geocities.com/afadhlis/politik18.htm
Dengan penyesuaian
beberapa bagian ke dalam bahasa Indonesia agar mudah dimengerti tanpa merusak
isi artikel, Edit oleh: Ade Anita (adeanita_26@yahoo.com.au)
sumber : kafemuslimah.com
0 komentar:
Posting Komentar